Kursus Akademik: Etika dan Integriti Terap Nilai Baik Dalam Kalangan Warga Akademik UMPSA

Kursus Akademik: Etika dan Integriti Terap Nilai Baik Dalam Kalangan Warga Akademik UMPSA

Oleh: Siti Sarah Mohamad Rajimi

 

PEKAN, 21 September 2023 - Seramai 12 orang staf akademik dan pentadbiran telah menyertai Kursus Akademik Etika dan Integriti yang telah diadakan di Bilik Latihan Pusat Teknologi Digital, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan.

 Kursus ini telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik (PIDA), Dr. Noram Irwan Ramli.

 Menurut Dr. Noram Irwan, objektif utama kursus ini diadakan adalah bagi memupuk konsep etika dan integriti akademik di kalangan semua ahli akademik bagi memahami tentang kepentingan etika akademik dan integriti dalam sistem pendidikan tinggi.

 “Ahli akademik perlu menyediakan strategi yang baik bagi memastikan etika dan integriti dalam pengajaran dan penyelidikan dipatuhi oleh setiap ahli akademik.

 “Pihak fakulti contohnya perlu menggariskan tanggungjawab dan peranan dalam mempromosi dan menegakkan etika akademik merangkumi strategi pencegahan dan strategi pengesanan bagi mengesan salah laku dengan menggunakan alat pengesan plagiarisme bagi mencegah pemalsuan dokumen.

 “Satu isu yang sering dibangkitkan dalam konteks etika akademik ialah perbuatan plagiat iaitu menerbitkan kerja orang lain tanpa merujuk atau memaklumkan sumbernya.” katanya.

 Tambah Guru Bahasa Pusat Bahasa Moden, Jamilah Bebe, isu ini perlu mendapatkan kesahihan dan sumber maklumat yang tepat bagi mengelakkan  kesilapan atau kemaslahatan yang lebih besar daripada berlaku.

 “Sebagai pendidik aspek etika dan integriti sangat sinonim dengan kita.

 “Kita sememangnya perlu ada kedua-dua sikap ini kerana kita akan lebih terpandu sebagai pendidik yang lebih terarah dalam melahirkan graduan yang cemerlang secara holistk dan seimbang dalam segenap aspek,” katanya.

Secara   ringkasnya, nilai etika dan integriti ini  sangat   penting untuk dihayati oleh semua  warga   akademik dan pendidik dalam membentuk insan   yang beretika   tinggi.

 Nilai ini perlu diketahui, dipegang, dihayati, dan dilaksanakan oleh semua individu untuk menjadi   insan   yang   lebih sempurna   dan   beretika   tinggi kerana keperibadian   ini   secara   langsung  mempertingkatkan   kemajuan   organisasi dan menyumbang  kepada   kesejahteraan   negara.

 


Print   Email