Bengkel Pemahaman dan Pelaksanaan OBE di UMPSA Tingkat Kompetensi Pensyarah
Pekan, 1 Oktober 2024 – Sebuah bengkel bertajuk Understanding and Implementing Outcome-Based Education (OBE) telah berjaya dianjurkan oleh Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik (PIDA) di Universiti Malaysia Pahang (UMPSA). Bengkel yang berlangsung di Bilik Tutorial 15 dan 16, Pusat Bahasa Moden UMPSA ini telah dihadiri oleh 71 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan guru bahasa.
Bengkel ini bertujuan untuk memperkukuhkan pemahaman mengenai Outcome-Based Education (OBE), iaitu satu model pendidikan yang menumpukan kepada pencapaian hasil pembelajaran pelajar. OBE, yang digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa termasuk di Malaysia, menekankan kepentingan pelaksanaan pembetulan untuk mengatasi kekurangan dalam pengajaran, penilaian, serta sikap pelajar. Ia juga membantu staf akademik menilai dan meningkatkan kaedah penyampaian kursus mereka.
Pengarah Pusat Akreditasi Akademik UMPSA, Ir. Ts. Dr. Nurhidayah binti Azmy, yang juga pengajar di bengkel tersebut, menyatakan bahawa latihan berkala tentang OBE adalah penting bagi memastikan staf akademik terus mematuhi standard yang ditetapkan. Ini sejajar dengan saranan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) semasa proses akreditasi program Doktor Falsafah di Pusat Sains Kemanusiaan baru-baru ini. MQA menyarankan agar universiti memberikan latihan berterusan berkaitan OBE kepada semua staf akademik.
Latihan intensif selama setengah hari ini mendapat sambutan positif daripada para peserta, dengan fokus kepada penyampaian ilmu yang lebih berkesan serta peningkatan mutu pengajaran di UMPSA. Melalui bengkel ini, UMPSA terus komited dalam meningkatkan kualiti pendidikan selaras dengan keperluan akreditasi dan standard antarabangsa.