Pemenang Anugerah Akademik Universiti 2024
13 Jun 2025 | Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan.
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh budaya kecemerlangan dan inovasi dalam kalangan warganya menerusi penganjuran Majlis Hari Kualiti dan Inovasi (HKI) 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan. Majlis berprestij itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias.
Majlis HKI 2025 turut menyaksikan penyampaian 12 kategori anugerah, antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Kualiti Naib Canselor, Anugerah Akademik Universiti, Anugerah Penyelidikan, Inovasi dan Komersial, Anugerah e-Pembelajaran Universiti dan Anugerah Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di UMPSA.
Tahniah diucapkan kepada Puan Nurkarimah binti Yusof daripada Pusat Bahasa Moden yang telah berjaya meraih Anugerah Akademik Universiti (Kategori Sains Sosial). Majlis penyampaian anugerah tersebut telah berlangsung di Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan pada 13 Jun 2025 yang lalu. Pemenang Anugerah Pengajaran akan menerima wang tunai sebanyak RM5,000.00, Sijil Penghargaan beserta trofi.
Majlis Hari Kualiti dan Inovasi 2025 bukan sekadar acara penghargaan tetapi mencerminkan komitmen UMPSA dalam membudayakan kecemerlangan serta memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal bertaraf dunia yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas penganugerahan ini. Anugerah ini adalah rahmat daripada Allah, hadiah untuk keluarga, rakan-rakan seperjuangan dan semua para pelajar yang sentiasa menjadi sumber inspirasi dalam perjuangan dan perjalanan saya sebagai seorang pendidik.
Titik perubahan terbesar saya bermula sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika pembelajaran secara fizikal berubah kepada pembelajaran maya yang mencabar. Kerap kali, saya kecewa apabila pelajar pasif setiap kali pembelajaran maya diadakan. Dari situlah lahir usaha saya untuk mengubah cara lama pengajaran saya kepada pembelajaran yang lebih aktif, efektif dan menarik bagi setiap jenis mod pembelajaran dengan menggunakan pelbagai platform interaktif seperti Padlet, Edpuzzle, Kahoot! dan ClassPoint. Saya percaya perubahan itu bukan beban, tetapi peluang untuk terus bereksperimen dan berinovasi. Menjalankan kajian tindakan juga penting untuk memahami, menilai dan memperbaiki amalan pengajaran saya secara berterusan.
Saya percaya P&P harus selari dengan arus zaman, justeru saya meneroka dan mengaplikasikan flipped classroom, gamification, membina kandungan micro-credentials, dan menganjurkan Global Classroom. Penggunaan alat bantu inovasi dan dan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) juga perlu dalam memperluaskan akses pembelajaran secara terbuka dan fleksibel. Kini dengan kehadiran AI yang semakin meningkat dan berkembang pesat, saya yakin AI boleh menjadi sahabat baru kepada pendidik dan juga pelajar untuk kita terus maju dalam dunia pendidikan. Mungkin kita tidak mampu untuk belajar semua berkenaan AI, tapi nasihat saya jangan tinggal semua.
Sepanjang perjalanan saya sebagai pendidik, saya sentiasa berpegang peguh pada prinsip bahawa setiap pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menjadi peneraju dalam pembelajaran mereka sendiri dan pendidik bertangggungjawab sebagai seorang fasiltator untuk membantu para pelajar dalam pembelajaran mereka. Sebagai pendidik, saya percaya bahawa tugas saya bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menyemarakkan semangat cinta dalam mencari ilmu dan seterusnya berjaya dalam kehidupan.
Saya percaya anugerah ini bukan milik saya seorang, tetapi milik semua pendidik yang sentiasa berusaha gigih untuk membawa inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran demi memastikan setiap sesi pembelajaran adalah bermakna.
Anugerah ini adalah satu tanggungjawab untuk saya terus menyumbang kepada pelajar, universiti dan komuniti. Semoga anugerah ini menjadi pembakar semangat kepada diri saya dan rakan-rakan seperjuangan untuk terus mencorak pendidikan yang lebih berdaya saing dan relevan."
-Puan Nurkarimah binti Yusof (Pemenang AAU 2024)